Saturday, May 27

Belia kita perlu lantang di peringkat global

Daripada: SADATUL MAHIRAN ROSLI

Nassau Bahamas 26 Mei - Belia Malaysia perlu bersuara lantang, bergerak aktif dan sentiasa bersedia bukan sahaja dari segi pengetahuan tetapi penguasaan bahasa terutamanya dalam sebarang perbincangan mengenai pembangunan belia di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said berkata, belia negara perlu didedahkan terutamanya dalam perbincangan yang bertaraf dunia supaya tidak gentar berdepan dengan belia negara luar.

Menurutnya, pada Mesyuarat Menteri-Menteri Belia Komanwel Keenam (CYMM6), wakil majlis belia negara lain begitu lantang dan aktif memberi pandangan serta menceritakan kejayaan kegiatan belia masing-masing malah ada yang tidak segan silu meminta peruntukan yang lebih daripada Program Belia Komanwel.

“Bahkan, kebanyakan majlis belia di negara-negara Komanwel beroperasi tanpa bantuan kerajaan. Ini agak berbeza dengan Malaysia di mana semua kegiatan belia harus mendapatkan dana atau digerakkan oleh kerajaan, jika tidak ia hanya berkubur,” katanya pada sidang media selepas menghadiri CYMM6 di sini hari ini.

Menurut Azalina, dalam pengamatan sepanjang CYMM6, perwakilan negara-negara dunia ketiga begitu aktif dalam sebarang perbincangan mengenai belia kerana itulah peluang yang ada bagi golongan itu untuk mendapatkan pandangan, bantuan dan peruntukan bagi menjalankan aktiviti di tempat masing-masing.

“Malah ada antara mereka cuba untuk mempengaruhi Sekretariat Komanwel dalam isu-isu melibatkan pembangunan belia,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, semasa bertemu dengan Setiausaha Agung Komanwel, Donald C. McKinnon, beliau sempat menyatakan bahawa Malaysia harus berasa bangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu mengambil berat mengenai belia kerana banyak peruntukan dan segala kegiatan belia ditanggung oleh kerajaan serta digerakkan oleh kementerian belia.

“Ini kerana kegiatan dan pembangunan belia di Malaysia hampir sepenuhnya bergantung kepada kerajaan dan tidak seperti negara Komanwel yang lain di mana majlis belianya memainkan peranan yang begitu besar dalam menjalankan aktiviti dan mendapatkan dana,” jelasnya.

- Utusan

ps: camne komen? saja nak paste kat cni, source; utusan

No comments: