Sunday, August 5

Perintis Perubatan Moden~

Ulul Albab: Menolak tanggapan Barat perintis perubatan moden
Oleh Abdurrahman Haqqi


Banyak bidang kajian kedoktoran sudah dibukukan ilmuwan Islam, jadi rujukan universiti di Eropah.
ADAKAH sains perubatan moden masa ini sampai kepada tahap cemerlang sekarang sekiranya ahli perubatan Islam pada masa silam tidak merekod dan mencatat cara rawatan, diskripsi, diagnosis, kajian, penemuan, farmasi dan penyelidikan mereka.
Malangnya sumbangan ilmuwan perubatan Islam terhadap kemajuan sains perubatan moden ditelan zaman seperti tertelannya ketamadunan Islam oleh keegoan dan kecemburuan sesetengah masyarakat antarabangsa yang memperkecilkannya. Mereka hanya mengakui ketamadunan hanya datang dari Eropah (baca: Barat). Mereka hanya mengakui bahawa sejarah manusia dan kemajuannya hanya berpusat di Eropah (baca: Barat). Mereka memaksakan kehendak bahawa putaran bumi hanya berasal dari Eropah (baca: Barat).

Pada 28 Julai lalu, penulis menghadiri perasmian Persidangan Sains Perubatan Malaysia, Indonesia dan Brunei Darusalam anjuran Institut Perubatan, Universiti Brunei Darussalam.
Pada akhir sesi plenari I, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Lokman Saim dengan kertas kerja perdana bertajuk Identifying Regional Priorities in Health Research menjual pantun berikut:

Mudik ke muara dengan perahu
perahu penuh ikan gelama
tidak menyelidik tak kan tahu
tak tahu tak akan ke mana

Ketika itu duduk di sebelah penulis ialah pembentang kertas kerja dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nurdeng Beuraseh yang juga kawan lama ketika menuntut di Kuwait dulu. Beliau menjelaskan kepada penulis mengenai sifat ikan gelama. Katanya, jika kita mahu menangkap ikan gelama, kita mesti memastikan dahulu kedudukan ikan berkenaan. Apabila sudah diketahui di mana tempat ikan berkenaan, barulah kita mengepung dan menangkapnya. Penulis pun bergumam bahawa pemilihan ikan gelama dalam pantun di atas memang tepat dan sesuai kerana menyelidik mencari sesuatu dengan cara berhati-hati. Penyelidikan itulah punca kemunculan buku rujukan perubatan Islam yang menjadi asas kepada sains perubatan moden.
Islam menggalakkan umatnya yang berkebolehan untuk mendalami bidang perubatan supaya tidak tertinggal daripada bangsa lain. Ini jelas kita dapati daripada suatu kejadian yang berlaku pada zaman Nabi SAW ketika Baginda masih di Makkah.
Pada suatu masa seorang sahabat, Sa'ad ibn Abi Waqqas jatuh sakit dan Baginda pun menjenguknya. Ketika menjenguk, Baginda memerintahkan sahabat yang lain untuk memanggil al-Harits ibn Kaldah al-Tsaqafi, seorang tabib kenamaan di Makkah pada masa itu. Sabda Baginda maksudnya: “Panggillah al-Harits ibn Kaldah untuk mengubatinya. Sesungguhnya dia adalah seorang yang mahir dalam perubatan.”

Ketika al-Harits datang dan memeriksa Sa’ad, beliau menggunakan dua cara rawatan yang biasa dilakukan doktor pada hari ini iaitu secara psikologi dan material. Secara psikologi, al-Harits berkata kepada Sa’ad dan orang di sekitarnya bahawa insya-Allah tidak ada apa-apa dan secara material dia pula memberikan ubat untuk dibuatkan tamar yang dimasak dengan susu kemudian meminta Sa’ad meminumnya. Tidak lama selepas itu, Sa’ad pun sembuh. (Lihat Ibn Abi Ushaibi’ah, ‘Uyun al-Anba, hal. 161)
Daripada kejadian di atas setidaknya dapatlah kita membuat dua kesimpulan. Pertama, panggilan Rasulullah SAW kepada al-Harits ibn Kaldah membuktikan bahawa Islam menyeru umatnya untuk mempelajari sains perubatan dan cara rawatan bahkan menggalakkannya. Kedua, kesaksian Baginda ke atas kepakaran dan kemahiran al-Harits ib Kaldah dalam bidang perubatan secara teori dan amali.
Al-Harits ibn Kaldah yang berasal dari Taif sememangnya seorang pakar perubatan yang terbilang pada zamannya. Beliau menulis perbahasannya mengenai perubatan dengan Kisra Anusyarwan, Raja Parsi ketika itu. Kebanyakan perubatan yang dilakukannya adalah nasihat dan hikmah. Pernah Khalifah Mu’awiyyah bertanya beliau: “Apakah cara yang mujarab dalam rawatan?” dan jawapannya ialah “Lapar!” Jawapan ini pula yang diberikan kepada Kisra Anusyarwan ketika beliau ditanya berkenaan dengan asas perubatan.
Ketika ditanya mengenai mandi sauna oleh Kisra, contoh lain, beliau menjawab: “Jangan anda memasukinya ketika anda sedang kenyang; jangan anda mendatangi keluarga anda ketika sedang mabuk; jangan anda bangun pada tengah malam dalam keadaan telanjang; jangan anda menyantap makanan ketika anda sedang marah; berlembutlah dengan diri anda kerana ia akan menenangkan fikiran anda; dan jangan makan terlalu banyak kerana ia akan memudahkan tidur anda.” (Lihat Ibn Abi Ushaibi’ah, ‘Uyun al-Anba, hal. 167)
Antara ilmuwan perubatan Islam terbilang yang menulis buku rujukan perubatan dalam sejarah tamadun manusia adalah Ali ibn Sahl al-Tabari (w. 850M) dengan tulisannya Firdaus al-Hikmah, Abu Bakar al-Razi (w. 320H) dengan bukunya al-Hawi, Khalaf ibn Abbas al-Zahrawi (w. 961M) pakar bedah dengan kitabnya al-Tasrif Liman ‘Ajaza ‘an al-Ta’lif, dan al-Hussein ibn Abdullah ibn Ali ibn Sina (w.429H) dengan al-Qanun sebagai kitab unggulnya.
Semua buku hasil penyelidikan dalam bidang perubatan di atas adalah mercu tanda bagi kemajuan sains perubatan moden. Sebagai contoh, buku al-Tasrif Liman ‘Ajaza ‘an al-Ta’lif karangan al-Zahrawi adalah buku rujukan pertama dalam sejarah sains pembedahan selama lima abad lamanya yang diterjemah lima kali ke dalam bahasa Latin. Yang membanggakan kita lagi buku ini mengandungi lebih daripada 200 gambar alat pembedahan yang menunjukkan betapa alim dan pakarnya al-Zahrawi dalam bidang pembedahan sehingga beliau boleh menggambarkan alatnya. Buku ini terdiri daripada 30 artikel yang dibahagikan kepada dua bahagian.
Bahagian Pertama dikhaskan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan ubat dan cara penyembuhan, manakala Bahagian Kedua dikhaskan untuk keperluan pembedahan. Bab Satu berkaitan dengan bekam; Bab Dua berkaitan dengan pembedahan tubuh manusia secara amnya; Bab Tiga berkaitan patah tulang dan yang sejenis dengannya. Buku al-Qanun karangan Ibn Sina pula adalah buku rujukan di sekolah perubatan dan universiti Eropah hingga pertengahan abad ke-17. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebanyak 20 kali dalam masa 30 tahun sebelum berakhirnya abad ke-15. Dalam buku ini, Ibn Sina membahagikan kajiannya kepada lima bahagian iaitu sains perubatan secara umum; ubat-ubatan; penyakit khusus bagi sesetengah anggota badan; penyakit yang menimpa semua badan manusia; dan farmasi. Oleh itu, sememangnya Ibn Sina mendapat jolokan Bapa Perubatan Dunia.
Itulah contoh masyarakat bertamadun yang melahirkan ilmuwan berjasa kepada manusia. Masyarakat Islam ialah satu-satunya masyarakat yang dikawal dan dilindungi Allah Ta’ala. Anggota masyarakat itu meninggalkan dan membuang jauh segala bentuk pemujaan dan pendewaan kepada sesama manusia untuk melakukan pemujaan dan pendewaan kepada Allah SWT saja. Oleh sebab itulah anggota masyarakat berkenaan menjadi orang yang bebas dan merdeka sepenuhnya.
Bila saja program yang berpunca dari Allah SWT menjadi tali pengikat antara umat manusia, iaitu kedaulatan bagi seluruh umat manusia tidak bersumber daripada sebarang kuasa duniawi dalam bentuk pengabdian dan penindasan atas sesama umat manusia nescaya masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat ideal yang boleh menggambarkan keindahan ciri kemanusiaan, iaitu ciri roh dan fikiran.
Sebaliknya bila saja dasar perkauman, kebangsaan, warna kulit dan tanah air, persamaan nasib dan lain-lain lagi yang menjadi tali pengikat antara kelompok umat manusia, maka jelas dasar-dasar itu tidak menggambarkan ciri kemanusiaan, sebab manusia akan tetap menjadi manusia tanpa kebangsaan, tanpa warna kulit dan tanah air, tetapi manusia itu bukan manusia lagi tanpa roh dan fikiran.
Ahad lalu, akhbar ini melaporkan mengenai pengambilan pelajar bagi Program Perubatan Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM). Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi Malaysia, KUTPM menubuhkan pusat pengajian di empat negara bagi menawarkan program pengajiannya di seberang laut.
Penubuhan pusat di Indonesia, India, Vietnam dan China dilakukan menerusi usaha sama antara KUTPM dengan rakan kerjasama global di negara terbabit.
Sekolah Perubatan Antarabangsanya (KIMS) ditubuhkan di Bangalore, India dan diharapkan ia mampu melahirkan ramai pakar perubatan dan membantu kerajaan mencapai matlamat meningkatkan modal insan dalam bidang berkenaan.

Sudah semestinya umat Islam termasuk negara yang memikirkan bagaimana cara memposisikan semula keunggulan perubatan Islam pada mata masyarakat antarabangsa dan membuktikan fikiran berkenaan dengan menubuhkan pusat penyelidikan sains perubatan Islam yang disesuaikan dengan zaman kita ini.
Kita pun mempersoalkan jika UNESCO menetapkan tujuh keajaiban dunia dalam bidang struktur bangunan mengapa mereka tidak memperhatikan mengenai keajaiban penemuan ilmuwan silam khasnya ilmuwan yang memberi sumbangan yang tidak ternilai harganya kepada kemajuan tamadun manusia pada hari ini.
INTI PATI

Tamadun perubatan Barat sengaja menidakkan sumbangan Islam dalam merintis ilmu perubatan moden.
Banyak bukti menunjukkan Islam mendahului tamadun lain dalam bidang perubatan seperti penghasilan kitab perubatan.
Ada antara kitab perubatan karangan ilmuan Islam menjadi rujukan universiti di Eropah sehingga pertengahan abad ke-17.

source:http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Agama/20070805003305/Article/


highlights bulan ogos!



exam week1

13.08(Isnin) : Anatomy Paper I

14.08(Selase) : Antomy Paper II


16.08(Khamis) : Physio Paper I

17.08(Jumaat) : Physio Paper II


exam week2

20.08(Isnin) : Biochem Paper I & II

22.08(Rabu) : Biochem Practical


23.08(Khamis) : Physio Practical


24.08(Jumaat) : Anatomy Practical



Pahit getir hidup... dan pengorbanan

Terpaksa dihadapi, demi kejayaan

Terdidik sejak mula, tabah berusaha

Tanpa cuba melangkah, tak kemana

Di mana kau berada

Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"

Hanyalah selangkah dari nyata

Keazaman membara dijiwa

Menanti saat bebas merdeka

Tiba masa kau melangkah gagah

Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya

Engkau terunggul

Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Harapan yang pernah terkulai layu

Kembali segar mekar bawah bayanganmu

Setiap manusia ingin berjaya

Namun tak semua miliki tuah

Engkau menghampirinya

Kesempatan telah pun tiba...

No comments: