Tuesday, August 5

melankoli sang kelana

ini ialah entri seorang perantau yang sedang kerinduan.

saya sebetulnya sudah hampir dua minggu (lebih kurang) tidak menelefon nombor kegemaran yang berkodkan tanah air, Malaysia. Kejam, kan? Seolah-olah cuba menduga hati seorang ibu yang tidak berupaya menelefon si perantau di tanah Deccan ini. ( no. celcom nya tak lepas call overseas..tataw knape~).

Apa-apapun, yang pasti, hati ini terlalu dibebani kerinduan yang cuba disembunyikan. Rasanya mahu membeli tiket terus pulang ke kampung laman~ Cuma hajat dipendam kerana masih ada battle untuk ditempuh selepas ini (dan sekarang pun~masih berlaku perang emosi dan prinsip).

" Agaknya itulah penangan besar buat seorang yang berkelana - berjauhan dari orang tersayang, berkorban waktu dari bersukaria bersama mereka, dan sebaliknya gigih menagih ilmu di tanah emas milik orang- untuk berbakti kepada orang lain pula.

Ironisnya, dia dihadangi tribulasi dan mehnah yang maha hebat, hingga bisa sahaja memuntahkan segala tekad dan niat untuk berbakti pada agama dan bangsa yang tersemadi di jiwa, saat langkahan pertama meninggalkan tanah Malaya. Prinsip hidup selama ini bertaburan bak debu ditiup angin. Emosinya berteriakan memburu cita yang tak pasti.

“Wahai orang-orang yg beriman!Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(QS: Ali Imran:200)


hinggalah segalanya dirasakan meletihkan buat sang kelana yang perjalanannya masih jauh belum terjangkaukan. Terasa dirinya mahu mati dan dihidupkan semula- bagai komputer direstart atau diformatkan kembali~ tapi, itu suatu misi mustahil. Astaghfirullah~

“…….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
(QS: Yusuf:1-2)


Sang kelana tersedar mentalitinya wajib sentiasa bersedia untuk menjalani mutasi, mengadaptasi diri dengan ceritera kelana mutakhir, dan sekaligus berkeupayaan menempis noda-noda hitam yang mencacat-celakan keputihan hati...
Yang pasti, pegangan imannya tak seharusnya luluh dihancuri fitnah dunia.
sang kelana mesti mencelikkan mata hatinya, niatnya mesti diperjelaskan dengan perbuatannya - itulah sukarnya. Cuma dia mesti lebih kuat, sementelahan tekadnya sudah terpacak.


Sang kelana, mulakan langkah pertama dengan kejujuran pada dirimu sendiri. langkahan seterusnya untuk menuju destinasi yang sudah terpatri oleh janjimu pada Pencipta.
JANJIMU PADA PENCIPTA! Harusku ingatkanmu di sini.


“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)…”
(QS: Al-Baqarah:45)


Sang kelana yang masih mengembara mencari mutiara kasih- meski masih kabur di matanya, tapi sedang diperjelas di fikiran, begitu juga di hatinya.
Tekadnya, dia mesti menggenggamnya semula. Mutiara putih untuk menyerikan hatinya yang kekusaman cahaya. Cahaya iman yang kemalapan kerana kurang ingatannya pada Penciptanya, kealpaan lidahnya dari beristighfar pada Yang Maha Pengampun, serta hatinya yang terbiar dari berhubung dengan Kekasihnya.

Semoga pencariannya menemukan apa yang dihajati. EnsyaAllah~.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
(QS: Ali Imran:139)

p/s: alfun mabrook buat amoun yg dah grad. slmt berbakti pd agama, bangsa & negara ;) ~
buat abg kadir dan kak zaatil jua- slmt mendirikan baitul-muslim yg bahagia. ameen~

No comments: